Tanda bunyi dan aksara lain Aksara Gurmukh

Papan tanda stesen keretapi dalam abjad Rumi dan Gurmukhī

Tanda sengau

Bindi ( ਂ ) dan Tippi ( ੰ ) digunakan untuk penyengauan (serupa dengan bunyi ‘N’ dalam imbuhan Melayu ‘meN-’). Secara amnya, aksara vokal Onkar (  ੁ ) dan Dulankar (  ੂ ) mengambil Bindi bagi bentuk tunggal dan Tippi pula selepas bergabung dengan konsonan.Kesemua vokal pendek lain mengambil Tippi sementara semua vokal panjang lain memakai Bindi. Catatan lama mungkin tidak mematuhi peraturan ini.

Addak

Tanda Addak ( ੱ ) menandakan konsonan berikutnya adalah konsonan panjang, iaitu konsonan berikutnya digandakan atau dikuatkan.

Halant

Tanda halant (੍) jarang sekali ditulis untuk bahasa Punjabi bertulisan Gurmukhi. Walaupun begitu, aksara tersebut adakalanya dipakai dalam teks Sanskrit atau dalam kamus untuk melengkapkan maklumat sebutan kata. Apabila dibubuh, tanda halant menandakan pengguguran bunyi vokal bawaan.

Contohnya:

ਕ – /ka/ਕ੍ – /k/

Visarg

Tanda Visarg (ਃ U+0A03) digunakan sekali-sekala dalam abjad Gurmukhi, sama ada berfungsi sebagai tanda singkatan (seperti mana tanda noktah dipakai untuk bahasa Melayu), ataupun seperti tanda visarga dalam bahasa Sanskrit yang mana bunyi ‘h’ tak bersuara disebut selepas bunyi vokal.

Ek Onkar

Ek Onkar (ੴ) ialah lambang Gurmukhi yang sering didapati dalam kesusasteraan Sikh, bererti ‘Satu Tuhan’.